Perhatian

Hadis Nabi Muhammad s.a.w :

"Satu umrah ke satu umrah menghapuskan dosa di antara keduanya, dan haji yang mabrur tiada balasan baginya melainkan syurga."
Blogger TIDAK menyediakan atau menganjurkan apa-apa pakej UMRAH mahupun pakej pelancungan bentuk lain. Sebarang maklumat yang di paparkan di sini adalah sekadar pandangan serta panduan mengikut pendapat admin dan pembaca jika ada pengunjung yang mengalami apa-apa kerugian akibat membaca blog ini adalah menjadi tanggungjawab pembaca itu sendiri. Sebarang komen dalam hal berkaitan umrah back packer adalah di alu-alukan bagi membantu rakan taulan melaksanakan UMRAH secara termurah, bagaimanapun janganlah komen yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak. Terima kasih dan berkunjunglah selalu ke blog ini.

Malaysian Ringgit Calculator

Carian

Isnin, Jun 30, 2014

Haji Furada

Assalamualaikum wbt.

Tidak dinafikan kegairahan untuk menunaikan Haji boleh menyebabkan kita mudah percaya sehingga melupakan pertimbangan logik akal.

Umrah Persendirian

Sememangnya untuk terpilih dalam kouta Haji tahun 2014 ini sangat mustahil bagi mereka yang baharu sahaja mendaftar atau mula mendaftar. Jika kita mendaftar Haji di Tabung Haji sekarang ini, giliran untuk pergi Haji yang dimaklumkan oleh Petugas Tabung Haji di Kaunter mungkin pada tahun 2050 atau lebih lagi. Anda boleh “semak” dengan Tabung Haji status tahun berapa akan terpilih untuk menunaikan haji. Maknanya kena tunggu 40 tahun atau 50 tahun lagi baru boleh jadi terpilih dalam Kouta.


Senario Sebelum Musim Haji 2010

Umum mengetahui kouta Haji untuk Malaysia ialah 0.1% dari jumlah Penduduk Malaysia iaitu sekitar 28 juta penduduk ialah 28,000 jemaah. Daripada 28 ribu yang Terpilih, mengikut rekod lepas hanya kira-kira 5% sahaja yang mengikut Pakej dan manakala 95% lagi mengikut Tabung Haji Muasasah. Maknanya lebih kurang 1500 jemaah sahaja yang ikut Pakej Haji Swasta termasuk Pakej Tabung Haji Travel.

Selama ini Malaysia bergantung kepada ihsan dari Kerajaan Arab Saudi untuk mendapat Kouta Tambahan. Biasanya Kouta Tambahan ini diperolehi dalam bulan Ramadhan, dan adakala lewat sehingga memasuki bulan Syawal. Dan pernah juga pada bulan Dzulkaedah. Dan apabila Kouta Tambahan ini diperolehi, maka barulah pihak Tabung Haji akan mengagih-agihkan jumlah Kouta Tambahan berkenaan kepada pihak Pakej Haji Swasta atau biasa dipanggil Pengelola Jemaah Haji (PJH) iaitu agensi Travel yang diberi lesen oleh Tabung Haji.

Pengagihan Kouta Tambahan ini bukan dibuat secara samarata. Tetapi dibuat mengikut Jumlah Purata Jemaah untuk 3 tahun sebelumnya. Contohnya jika purata jemaah sesuatu pengendali atau travel agen ialah 1000 orang, maka kouta tambahan yang diberi oleh Tabung Haji mungkin berjumlah 1000 juga atau kurang dari itu.

Bagi PJH yang mempunyai bilangan Purata jemaah yang sedikit (katakanlah 200 orang) maka akan diberi 200 orang atau kurang dari itu oleh Tabung Haji. Jumlah Kouta Tambahan yang diberi ini ialah Kuasa Mutlak Tabung Haji. Pihak PJH hanya boleh membuat Rayuan dengan mengemukakan Dokumen-dokumen sokongan dan mestilah mengikut Terma dan Syarat Tabung Haji.

Harus diingat Terma dan Syarat kepada PJH ini bertujuan untuk menjaga kebajikan jemaah Haji juga. Sebagai contoh, dalam Terma dan Syarat, pihak PJH wajib menyediakan Rumah Penginapan untuk Jemaah Hajinya. Jika jumlah jemaah PJH berjumlah 1000 orang misalnya, maka pihak PJH harus dapat membuktikan kepada Tabung Haji bahawa penginapan untuk jemaah Hajinya sudah sedia siap iaitu dengan menyerahkan Surat Perjanjian Perumahan (SPP) di Tanah Suci. SPP ini ialah satu bukti menunjukkan kemampuan PJH menjaga jemaah mereka. Mana mungkin Tabung Haji akan memberi Kouta Tambahan kepada PJH tanpa bukti SPP ini.

Dengan kata lain, jika PJH memohon tambahan Kouta untuk mereka seramai 500 orang, maka PJH berkenaan mesti menunjukkan bukti bahawa mereka sudah menyediakan 500 katil untuk penginapan jemaah mereka di Tanah Suci. Jika tidak, pastinya kouta sebanyak yang diminta tidak dilayan oleh pihak Tabung Haji.

Oleh kerana Kouta Tambahan ini diperolehi setiap tahun sebelum ini, maka ramai jemaah yang baru mendaftar Haji dengan Tabung Haji dan kemudiannya mendaftar dengan PJH dapat menunaikan Haji pada tahun yang berkenaan. Sehingga wajud Istilah “jika nak pergi haji cepat maka kena mendaftar dengan Pakej Haji Swasta”. Malah ada juga kabar-kabar menyatakan ada PJH yang mendakwa bahawa mereka ada Kouta Haji, dan sesiapa yang ingin menunaikan Haji pada tahun tersebut, boleh mendaftar dengan mereka.

Sebenarnya dakwaan PJH bahawa mereka ada Kouta Haji ini kurang benar atau kurang tepat dan sememangnya tidak disenangi oleh Tabung Haji. Seolah-olah PJH sudah sedia ada kouta Haji sendiri walhal kouta Haji ini atas keputusan Tabung Haji. Dan keputusan memberi kouta Haji kepada PJH juga tertakluk kepada Ihsan dari Kerajaan Arab Saudi.

Senario Selepas Musim Haji 2010

Bermula Musim Haji 2011 sehingga 2013, Kerajaan Malaysia tidak mendapat Kouta Tambahan Haji dari Kerajaan Arab Saudi. Malah untuk musim 2013, Kouta Haji yang ada telah dikurangkan sebanyak 20% kerana Kerja-kerja Pembangunan Semula Kota Makkah (Masjidil Haram). Tahun 2013, jika tak silap Malaysia hanya membawa lebih kurang 22,350 jemaah Haji.

Pada musim Haji 2011 dan 2012, banyak PJH yang mengalami kerugian yang bukan sedikit. Bayangkan sekiranya sebuah PJH yang mempunyai 500 orang jemaah dan yang terpilih hanya 100 orang aje. Bagi memenuhi Terma dan Syarat Tabung Haji, PJH ini telah memajak bangunan Hotel di Makkah bagi menampung 500 orang jemaah mereka (walaupun yang Terpilih hanya 100 orang) demi mengharapkan Kouta Haji Tambahan ada seperti tahun-tahun sebelumnya.

Tiba-tiba Tiada Kouta Haji Tambahan untuk tahun yang berkenaan. Berapa kerugian yang terpaksa ditanggung oleh PJH berkenaan. Jika harga sebuah katil pada musim Haji ialah SR10000 didarab dengan 400 katil (500 – 100 (Terpilih), maka kerugian bangunan sahaja ialah RM 4 juta. Dan jika boleh dijual 400 katil yang tidak diduduki (kerana jemaah tak datang) pun dah dikira baik bagi mengurangkan kerugian. Tetapi harga jualan secara “last minute” menjelang Hari Wukuf ini biasanya jauh lebih murah berbanding masa Harga Belian.

Keadaan ini yang banyak dialami oleh PJH pada tahun 2011 dan 2012. Untuk musim 2013, dari awal lagi sudah dimaklumkan bahawa Kouta Haji yang sedia ada pun akan dikurangkan 20%, maka saya rasa tiada PJH yang berani memajak bangunan Hotel walaupun menyedari bilangan jemaah yang mendaftar dengan mereka ramai. Bilangan jemaah ramai tetapi kebanyakkannya berstatus Rayuan dan belum lagi Terpilih. PJH hanya menyewa bangunan berdasarkan bilangan Jemaah Haji yang Terpilih sahaja bagi mengelakkan risiko kerugian seperti tahun sebelumnya.

Haji Secara Furada

Untuk makluman, selain Tabung Haji ada juga jemaah yang menunaikan Haji tanpa melalui Tabung Haji atau dipanggil “Visa Haji Furada”. Semasa bertugas pada musim Haji dahulu, saya biasa berjumpa dengan jemaah Haji Malaysia sistem Furada ini. Dulu ketika zaman Pasport Haji Tabung Haji berwarna Hijau, kumpulan Haji Furada ini menggunakan Pasport Antarabangsa atau biasa dipanggil Jemaah Haji Pasport Merah. Dan sememangnya Jemaah Haji Furada ini tiada rekod dalam Sistem Tabung Haji. Mereka tidak boleh mendapatkan khidmat Rawatan Kesihatan di mana-mana Klinik Tabung Haji atau Hospital Tabung Haji di Tanah Suci.

Harga Pakej Haji cara Furada

Visa Haji sememangnya Percuma tetapi Visa Haji secara Furada ini bukannya percuma dan kena beli. Pada tahun-tahun 2000 dulu harga Visa Haji Furada ini hanya sekitar Usd 400 hingga Usd500 sahaja. Tetapi musin 2013 lepas, saya dengar harganya sudah mencecah sehingga Usd3000-Usd4000 iaitu RM9000-RM12000 lebih.

Kenapa harganya boleh meningkat jangan ditanya. Sebab jawapannya memang tak ada . Tetapi bagi mereka yang berkemampuan dan berkeinginan kuat untuk menunaikan Haji, soal harga bukan jadi satu isu. Yang penting dapat pergi haji.

Pakej Haji sistem Furada ini sememangnya mahal. Ini kerana harga Visa dan tiket Penerbangan sahaja sudah mencecah sehingga RM15000, ditambah lagi dengan kos penginapan Makkah dan Madinah, makan dan minum selama di sana, bayaran Muasasah untuk Arafah dan Mina maka kiraan kasar saya tidak lari dari RM30 ribu untuk seorang.

Modus Operandi Haji

Dan sekiranya mahu setting Pakej Haji cara Furada ini, perlu ambil pendekatan cara begini. Iaitu jemaah akan terbang dan masuk Makkah kira-kira 1 minggu sebelum Hari Wukuf atau pada 3 Zulhijjah. Untuk tempoh seminggu ini, jemaah akan ditempatkan di kawasan Aziziah berhampiran Mina bagi memudahkan jemaah berulang-alik semasa membuat Lontaran pada Hari 10,11, dan 12 Zulhijjah. Ini kerana harga Hotel yang berhampiran dengan Masjidil Haram sememangnya mahal ketika ini.

Jemaah akan dibawa ke Arafah pada 9 Zulhijjah selepas waktu Subuh. Dan sebaik sahaja menjelang pertengahan malam 10 Zulhijjah, jemaah akan dibawa dari Arafah melalui Muzdalifah (untuk mabit) menuju ke Makkah untuk bertahalul awal iaitu dengan melakukan Tawaf Ifadah (haji) dan Saie Haji yang kemudiannya bertahalul (bercukur atau bergunting).

Pada Hari Tasyrik, jemaah akan berulangalik dari Makkah ke Mina untuk melakukan Lontaran Jamrah Kubra (10 Zulhijjah) dan juga Lontaran untuk 3 Jamrah pada Hari 11 dan 12 Zulhijjah. Jemaah akan melakukan Nafar Awal iaitu meninggalkan bumi Mina sebelum tenggelam matahari 12 Zulhijjah.

Umrah Persendirian
Tidak mustahil jemaah boleh menginap di Hotel di atas pada harga Pakej RM30 ribu jika memasukinya selepas 13 Zulhijjah

Dan sebaik selesai tanggal 13 Zulhijjah, maka kesemua jemaah akan berpindah dari Aziziah ke Hotel yang berhampiran dengan Masjidil Haram. Ketika itu Hotel-hotel 5 bintang mengalami penurunan harga yang drastik sekali dan tidak mustahil jika jemaah dapat menginap di Hotel Safwah atau setaraf dengannya pada harga Pakej RM30 ribu sahaja.

Jemaah akan menginap di Makkah selama 25 hari dan 5 hari terakhir di Madinah pula. Tempoh Perjalanan Haji pada anggaran 30 hari sahaja.Kenapa tidak 40 waktu di Madinah seperti Jemaah Tabung Haji ? Sebabnya tak dapat  pegang Hadith Daif yang menyatakan Solat 40 waktu di Masjid Nabi dapat masuk Syurga. Hadith Daif boleh diamal sebagai galakan untuk kuat beribadah tetapi tidak boleh dipegang untuk jadi sandaran Hukum.

Sungguhpun Visa Haji cara Furada ini sah dari sudut Undang-undang Kerajaan Arab Saudi tetapi ramai juga yang masih gagal memperolehinya. Sememangnya Visa Haji Furada ini benar-benar menjadi rebutan dan mendapatkannya juga bukan satu kerja yang mudah. Kerana itu tidak berani memberi jaminan jemaah akan memperolehi Visa Haji dan dapat pergi Haji untuk musim Haji kali ini. Jika dapat Visa Haji, maka jemaah akan berangkat. Jika nak buat kenduri pun biarlah selepas balik Haji nanti. Dibimbangi diri sendiri yang malu nanti sebab kenduri dan dibuat tetapi tak dapat pergi Haji.

Jika bakal jemaah masih tidak faham mengenai hal haji boleh hubungi mana-mana pejabat LTH untuk mendapatkan gambaran yang sebenarnya. Sememangnya kegagalan untuk menunaikan Haji amat memeritkan tetapi sekiranya kita sudah memahami permasalahan maka kita akan berlapang dada dan redha dengan ketentuannya.

Sekian dan Wassalam.


Rujukan :

  1. iqbalsafwan
  2. facebook
  3. flickr
  4. AL-FIRDAUS

Tiada ulasan:

Catatan Popular



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Visitor Umrah Persendirian