Perhatian

Hadis Nabi Muhammad s.a.w :

"Satu umrah ke satu umrah menghapuskan dosa di antara keduanya, dan haji yang mabrur tiada balasan baginya melainkan syurga."
Blogger TIDAK menyediakan atau menganjurkan apa-apa pakej UMRAH mahupun pakej pelancungan bentuk lain. Sebarang maklumat yang di paparkan di sini adalah sekadar pandangan serta panduan mengikut pendapat admin dan pembaca jika ada pengunjung yang mengalami apa-apa kerugian akibat membaca blog ini adalah menjadi tanggungjawab pembaca itu sendiri. Sebarang komen dalam hal berkaitan umrah back packer adalah di alu-alukan bagi membantu rakan taulan melaksanakan UMRAH secara termurah, bagaimanapun janganlah komen yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak. Terima kasih dan berkunjunglah selalu ke blog ini.

Malaysian Ringgit Calculator

Carian

Jumaat, Mac 01, 2013

Panduan dan Larangan Semasa UMRAH

JOMUMRAH.

Semua umat Islam masa kini mampu menunaikan UMRAH dengan cara yang termurah dan jimat. Anggaran perbelanjaan tidak melebihi RM2999.00

Jom UMRAH

A.  Panduan tentang Umrah

Umrah (ﻋﻤﺮﻩ) ialah mengunjungi Baitullah di Makkah dan melakukan ihram, tawaf, sa’i dan bertahallul mengikut tertib.
Umrah adalah fardhu seperti Haji. Ini adalah pendapat al-Imam as-Syafie r.a. yang al-Azhar. Ijmak Ulama mengatakan bahawa hanya wajib dilakukan sekali sepanjang hayat bagi orang yang mampu kecuali orang yang bernazar, maka dia wajib memenuhi nazarnya.
Dalil daripada al-Quran ialah firman Allah Taala: Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah (Al-Baqarah 196). Sabda Nabi yang diriwayatkan Ibnu Majah, Al-Baihaqi dan sanad yang sahih daripada Aisyah r.a. katanya:
Aku berkata : “Wahai Rasullah,apakah wanita wajib berjihad?”. Sabda Baginda: “Ya, jihad yang tiada peperangan padanya iaitu haji dan umrah”.
Niat Ihram, Tawaf dan Sa’i tidak boleh dilakukan di mana-mana tempat lain melainkan di tempat yang ditetapkan. Iaitu niat ihram di Miqat, tawaf 7 pusingan mengelilingi Kaabah di dalam Masjidil Haram dan bersa’i 7 kali bermula di bukit Safa dan berakhir di bukit Marwah. Terakhir sekali bertahallul iaitu bercukur atau mengunting rambut sekurang-kurangnya 3 helai selepas itu, segala larangan dalam Ihram menjadi halal sepertimana sebelum beliau berihram.
Beza Umrah dengan Haji ialah Umrah boleh dilaksanakan sepanjang tahun tetapi Haji hanya boleh dilakukan pada bulan haji iaitu bulan Zulhijjah sahaja, dan hari kemuncaknya ialah pada hari Tasyrik 9,10,11,12 dimana jemaah berkumpul di Padang Arafah dan Mina.
Pada zaman sekarang Kerajaan Arab Saudi menetapkan mana jemaah umrah mestilah mengikut muassasah umrah dan memohon visa umrah melalui agensi umrah. Tiada lagi permohonan Visa umrah dapat dilakukan di Kedutaan Arab Saudi secara individu.

RUKUN-RUKUN UMRAH
  1. Berihram (Berniat melakukan umrah)
  2. Tawaf
  3. Sa’i
  4. Tahallul
  5. Tertib
WAJIB-WAJIB UMRAH
  1. Berihram serta berniat umrah di Miqat yang ditentukan.
  2. Menjauhi segala perkara yang dilarang semasa dalam ihram.
SUNAT-SUNAT UMRAH
  1. Mandi sunat untuk Ihram
  2. Sembahyang sunat Ihram
  3. Sembahyang sunat Tawaf
  4. Mengucup Hajarul Aswad
  5. Bertalbiyah.

B  16 Faktor Teras Bagi Haji Yang Tertolak


Berikut adalah panduan 16 Faktor Teras Bagi Haji Yang Tertolak :
  1. Marah-Marah apabila dilanda sesuatu yang menyusahkan atau menyakitkan diri atau apabila berdepan dengan situasi atau fenomena yang tidak menyenangkan hati serta perasaan.
  2. Terlalu Ghairah serta Tidak Sabar terutama apabila tiba di sesuatu tempat yang diidamkan seperti Masjid Nabawi atau Masjidil Haram lantas membuat tindakan bersendirian yang kadang kala menyusahkan pihak urusetia program.
  3. Bersikap Takbur dengan menyangka dan melihat diri kita serba tahu dan serba sempurna dan melihat orang lain lebih rendah taraf dan kedudukannya daripada kita
  4. Bersikap Riak iaitu suka menunjuk-nunjuk bagi tujuan mendapat pujian dan sanjungan orang lain akan ibadah-ibadah serta amal kebajikan yang dibuat dan sering menonjolkan kelebihan dan keistimewaan diri sendiri.
  5. Memungkiri janji-janji yang telah dilafazkan kepada sahabat atau rakan sesama jemaah.
  6. Malas untuk beribadah dan suka menghabiskan masa membuat kerja-kerja yang melalai serta melaghakan seperti menonton TV, membaca akhbar, berbual kosong atau membeli belah dan melawat kedai-kedai.
  7. Suka Mengkeji atau Mengumpat akan perilaku jemaah lain yang tidak serasi atau sebulu dengan jiwa dan perasaannya sehingga berputik permusuhan dan persengketaan sesama jemaah di Tanah Suci Makkah atau Madinah itu yang amat melarang perkara berkenaan.
  8. Bermegah-megah dengan pangkat, darjat serta harta dan wang ringgit yang dimiliki dengan membanding-bandingkan kelebihannya itu serta memperlekehkan kemampuan orang lain.
  9. Bermuka-muka dalam pergaulan dan suka Mengadu Domba hingga mencetuskan suasana resah gelisah, prejudis dan saling syak wasangka sesama jemaah.
  10. Bersikap Khianat dengan menabur fitnah dan memutarbelitkan cenita-cerita yang tidak benar bagi tujuan untuk memecahbelahkan perhubungan mesra sesama jemaah.
  11. Berlaku Hasad & Dengki terhadap keupayaan dan kekhusyukan ibadah jemaah lain dengan merencanakan sesuatu tindakan yang boleh merencatkan usaha murni dan semangat jemaah berkenaan.
  12. Bersifat Bakhil & Kedekut untuk menghulurkan perkongsian ilmu pengetahuan, sedekah atau amal jariah dan melihat peminta sedekah dan orang-orang yang serba kekurangan dan memerlukan itu sebagai orang-orang malas dan tidak mahu berusaha serta mencacatkan pandangan.
  13. Kufur Nikmat dan Tidak Bersyukur serta Tidak Berterima Kasih atas kelebihan kurniaan Allah kepadanya sehingga bersemi perasaan riak, ujub, waham, sum’ah, sombong serta takbur dalam dirinya. Nikmat Allah seperti kesihatan dan kekuatan diri tidak disalurkan kepada yang berhak dan memerlukan sebaliknya digunakan untuk menimbulkan kekacauan dan kesusahan kepada orang lain.
  14. Berlagak Sombong dengan memperlihatkan kelebihan diri menerusi perlakuan, pertuturan, mimik muka dan jelingan mata sehingga membibitkan perasaan benci, jijik dan meluat di kalangan jemaah lain.
  15. Cerca Mencerca serta saling Caci Mencaci secara terbuka dan berdepan atau secara senyap hingga menyebabkan kekecohan dan persengketaan yang mengaib serta memalukan.
  16. Berbohong dan Bedusta dengan memberikan pelbagai alasan untuk melepaskan diri daripada janji dan tanggung jawab fardhu ain serta fardhu kifayah yang memerlukan penglibatan nya.




C.   17 Faktor Teras Bagi Haji Yang Mabrur

  1. Sabar menghadapi karenah dan birokrasi pihak berkuasa Arab Saudi seperti Imigresen, Kastam, Petugas Lapangan Terbang, serta Pengawal Keselamatan Masjid Nabawi & Masjidil Haram. 
  2. Sabar menghadapi keletihan dan ketidakselesaan daripada aktiviti-aktiviti haji yang amat lasak dan penuh dengan cabaran dan dugaan. 
  3. Sabar menghadapi karenah dan ragam manusia ( jemaah lain dan rakan sejemaah ) yang pelbagai jenis , perangai, perwatakan dan budaya itu. 
  4. Sabar menghadapi peraturan-peraturan dan disiplin ibadah yang ketat seperti pantang larang ihram serta peraturan dan tuntutan ibadah wukuf di Arafah, Mabit di Muzdalifah dan Mina, Melontar Jamrah, Tawaf, Saie, Tahallul dan sebagainya yang wajib dipatuhi. 
  5. Sabar dalam melaksanakan setiap tuntutan ibadah sampingan serta ibadah-ibadah pengabdian diri yang memerlukan ketahanan mental, keistiqamahan perbuatan, ketegaran iktikad serta semangat dan jati diri yang kental. 
  6. Syukur kerana menjadi orang yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah dan telah dilimpahkan rezeki yang melimpah ruah hingga mampu mengerjakan ibadah haji ini. 
  7. Syukur kerana Allah telah berkenan melimpahkan Rahmat-Nya ke atas kita hingga kita terbuka hati dan tersentuh hasrat untuk mengabdikan diri menjadi tetamu-Nya di Tanah Suci Makkah dan Madinah ini. 
  8. Ikhlas dalam setiap ibadah ( solat, puasa, tawaf, saie dll ) yang dilakukan itu sehingga tidak terlintas sebarang keluhan, rungutan atau kekesalan malah amat bahagia dan terhayat melakukannya. 
  9. Ikhlas dalam setiap iktikad, perbuatan serta amalan yang dilakukan kerana mengharapkan Keredhaan Allah semata-mata. 
  10. Redha dengan segala musibah, dugaan dan percubaan yang ditimpakan oleh Allah dan tidak prejudis atau berprasangka buruk terhadap Allah SWT. 
  11. Redha dengan Qada’ dan Qadar Allah serta tidak mempertikaikan Keadilan-Nya dan pasrah serta percaya dengan hikmah yang terkandung di sebalik setiap yang berlaku itu. 
  12. Pemurah dalam setiap sumbangan ( ilmu & wang ringgit ), perlakuan ( senyuman & tutur kata ), bakti dan amal soleh ( bantuan, bimbingan & pertolongan ) yang dihulurkan kepada jemaah yang memerlukan. 
  13. Bertimbang Rasa kepada semua tetamu Allah terutamanya yang lemah, tua serta uzur tanpa mengira darjat, bangsa dan keturunan dalam setiap aspek tindakan dan layanan kita. 
  14. Bertanggung jawab terhadap mahram dan saudara mara yang turut serta menunaikan ibadah suci berkenaan dengan membantu memastikan mereka selamat, selesa dan yakin menjalankan segala tuntutan dan syariat haji tersebut. 
  15. Tolong Menolong dalam apa jua aspek terutama kepada mereka yang lemah, uzur, kurang upaya dan amat memerlukan bantuan, keprihatinan serta kecaknaan kita. 
  16. Penyayang terhadap semua jemaah umrah dan tetamu Allah itu tanpa mengira paras rupa, kecil besar, miskin kaya, darjat dan keturunan, kaum atau bangsa. 
  17. Bertaubat dan sentiasa membuat muhasabah atau refleksi diri terhadap dosa-dosa, maksiat dan kemungkaran yang pernah kita lakukan sepanjang hidup kita ini. 

D. Fadhilat Haji
  1. Hadith baginda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Aishah r.a. yang bermaksud: ‘ Barang siapa berpergian ke arah ini untuk menunaikan ibadah haji atau umrah kemudian mati di dalamnya, maka dia kelak tidak akan diadili dan tidak pula dihisab melainkan dikatakan kepadanya “ Masuklah ke dalam syurga ”
  2. Ali bin Abi Talib r.a. mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya: “ Barang siapa menghendaki ( kebaikan ) dunia dan akhirat, maka hendaklah dia mengunjungi Baitullah sebab setiap orang yang mendatanginya seraya memohon kepada Allah akan ( kebaikan ) dunia, nescaya Allah akan mengurniakannya dan setiap orang yang memohon kepada-Nya akan ( kebaikan ) akhirat, nescaya Dia akan menyimpan sebahagiannya untuknya. Ingatlah wahai manusia, kerjakanlah olehmu haji dan umrah, perturutkanlah antara keduanya, sebab keduanya akan mencuci dosa-doa, ibarat air mencuci kotoran yang melekat pada baju. Keduanya juga akan menghilangkan kefakiran, ibarat api menghilangkan kotoran besi ”
  3. Amr bin Syu’aib meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda, maksudnya: “ Para jemaah haji dan umrah adalah tetamu-tetamu Allah Azawajalla. Bila mereka meminta ( sesuatu ) mereka akan dikurniakan dan bila mereka berdoa, doa mereka akan dimakbulkan, serta bila membelanjakan ( harta ) mereka, mereka akan memperolehi pengganti bagi perbelanjaannya itu. Dan setiap kali seseorang ‘ ber-ihlal ‘ ( berniat ihram ) dan bertakbir di bukit mana pun, nescaya apa yang ada di sekitarnya akan turut ‘ ber-ihlal ’ dan bertahlil seiring dengan tahlil dan takbirnya, sehingga ia berhenti sebagaimana debu ”
  4. “ Mengerjakan haji dan umrah itu dua fardhu yang hanya sekali sahaja ( bagi seorang Islam yang cukup syarat ) maka bolehlah engkau kerjakan mana yang dahulu ( sama ada haji atau pun umrah ) ( Hadith baginda Rasulullah SAW – riwayat Zaid bin Sabit )



E.  Larangan Ihram





Perkara-perkara Yang Diharamkan Semasa Ihram:
01
  1. Melakukan persetubuhan: Iaitu melakukan persetubuhan dan faktor-faktor yang mendorong kepadanya dari apa yang berlaku di antara lelaki dan isterinya seperti bercumbu bergurau senda dan seumpamanya.
  2. Maksiat: Iaitu keluar dari ketaatan.
  3. Berbantah: Iaitu membantah kawannya atau sesiapa sahaja sehingga boleh menimbulkan kemarahannya begitu juga perbalahan dan cacian.
  4. Memakai pakaian yang berjahit (bagi lelaki).
  5. Memotong rambut.
  6. Wangian (iaitu memakai sesuatu yang berbau wangi-wangian).
  7. Memotong kuku.
  8. Menutup kepala bagi lelaki.
  9. Berburu.
  10. Memotong Pokok.
  11. Memakai stokin dan kasut biasa tetapi harus memakai mana-mana kasut yang boleh memperlihatkan urat belakang kaki.
  12. Menutup muka dan dua kaki ketika tidur.
Perkara-perkara Yang Diharuskan Semasa Ihram:
02
  1. Mandi dengan niat bersuci, membersihkan badan atau untuk menyejukkan badan tetapi tanpa menggunakan sesuatu yang berbau wangi seperti sabun yang berbau wangi, syampo yang berbau wangi atau ubat gigi yang berbau wangi.
  2. Mencabut gigi.
  3. Membelat kawasan yang patah.
  4. Mengurut kepala atau badan tetapi hendaklah dengan lembut supaya tidak tergugur rambut atau bulu, apabila tergugur rambut atau bulu, sedekah wajib dikeluarkan.
  5. Harus memakai selipar, cincin, cermin mata, pembesar suara untuk telinga, jam tangan, tali pinggang serta beg yang digunakan untuk menyimpan wang dan dokumen penting.
  6. Harus menukar pakaian ihram dan membersihkannya tetapi makruh tanzih.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Perkara Larangan Ihram
Kenapa penulis tak masukan hal merokok? larangan atau tidak

Tanpa Nama berkata...

Rokok tak haram. Merokok yg haram kot............ha ha

Catatan Popular



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Visitor Umrah Persendirian