Perhatian

Hadis Nabi Muhammad s.a.w :

"Satu umrah ke satu umrah menghapuskan dosa di antara keduanya, dan haji yang mabrur tiada balasan baginya melainkan syurga."
Blogger TIDAK menyediakan atau menganjurkan apa-apa pakej UMRAH mahupun pakej pelancungan bentuk lain. Sebarang maklumat yang di paparkan di sini adalah sekadar pandangan serta panduan mengikut pendapat admin dan pembaca jika ada pengunjung yang mengalami apa-apa kerugian akibat membaca blog ini adalah menjadi tanggungjawab pembaca itu sendiri. Sebarang komen dalam hal berkaitan umrah back packer adalah di alu-alukan bagi membantu rakan taulan melaksanakan UMRAH secara termurah, bagaimanapun janganlah komen yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak. Terima kasih dan berkunjunglah selalu ke blog ini.

Malaysian Ringgit Calculator

Carian

Memaparkan catatan dengan label tawaf. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tawaf. Papar semua catatan

Ahad, Mei 11, 2014

Umrah – Suatu Ibadah Ikut-ikutan dan mungkin tidak berlaku pada Umrah persendirian

Bila sesaorang terpanggil untuk menunaikan umrah, antara persoalan utama yang bermain di fikiran mereka ialah…
  1. Macam mana nak buat umrah ni?
  2. Banyak ke doa dan bacaan yang perlu dihafal?
  3. Macam mana nak jaga wuduk semasa tawaf, orang ramai sangat …confirm akan tersentuh juga !
  4. Dah bersediakah dari segi emosi, hati, perasaan selain dari kesediaan dari segi fizikal dan kesihatan.
  5. Betul ke masa ihram..orang lelaki memang tak boleh pakai seluar dalam langsung..??
  6. Pelbagai lagi soalan-demi soalan bermain di fikiran.

Bila bertanya kepada beberapa orang yang pernah menunaikan umrah, pelbagai pandangan yang berbeza yang diterima. Ada yang mengatakan persediaan memang sangat di perlukan kerana ibadah ini walaupun nampak mudah tetapi memerlukan pengetahuan yang mendalam khususnya tentang rukun umrah dan wajib umrah.

Ada pula yang mengatakan tak perlu risau apa-apa pun sebab umrah ni senang sangat. Ikut sahaja apa yang orang lain buat khususnya mutawif. Bagi yang ikut pakej tak susah bila dapat mutawif yang berpengetahuan tentang trend jemaah semuanya dia akan tunjukkan, doa masa tawaf atau saie’ pun dia yang bacakan, jemaah di bawah seliaannya hanya mengaminkan sahaja. Mutawif angkat tangan lambai Kaabah, jemaahpun angkatlah juga. Hmmmm…senang macam buat sesuatu yang boleh kita pelajari dengan meniru gaya orang lain buat saja. Sama macam sembahyang berjemaah yang semuanya ikut iman sahaja.

Berbeza pula dengan jemaah yang pergi secara persendirian. Mereka terpaksa mempelajari selok belok melakukan ibadah umrah sepenuhnya terutama sekali pasal tawaf takut berlaku terbatal tawaf yang menyebabkan tidak sahnya umrah. Beruntung kalau dalam kumpulan umrah persendirian tersebut terdapat jemaah yang mengetahui atau pernah melakukan umrah sebelumnya, mereka akan dapat melakukan ibadah umrah dengan bantuan jemaah tersebut. Walau bagaimanapun ada segelintir jemaah yang telah menunaikan umrah berulang kali tapi masih perlukan bantuan beberapa bahagian bagi menyempurnakan ibadat umrahnya.

Bagi generasi kini yang sudah celik IT, nampaknya mereka mula mencari maklumat berkaitan menunaikan umrah melalui internet yang sangat banyak dan pelbagai bentuk. Perlu di ingatkan disini bahawa ilmu agama termasuklah dalam perkara menunaikan umrah perlukan guru yang arif. Ilmu yang di perolehi dari sumber alam maya hanyalah sebagai pembantu sahaja.
Jika terdapat pula antara jemaah jenis orang  yang perisau dan was-was khususnya kalau perkara yang melibatkan ibadah dan melibatkan hukum agama ini, maka sebagai seorang yang kurang arif tentang umrah mula mengkaji dan menghayati pelbagai aspek tentang umrah. Pelbagai jenis buku, dvd, blog, video youtube yang berkaitan dengan ibadah umrah yang akan di kumpulkan dan diulangkaji. Rutin hidup mereka sepanjang beberapa bulan terakhir sebelum tarikh tempahan penerbangan disahkan. Setiap hari, samaada selepas solat subuh biasanya atau sebelah malam mereka akan meluangkan masa untuk mengulangkaji samaada melalui membaca nota berkaitan, menonton video , baca buku panduan yang berkaitan dengan ibadah umrah. Selain membaca atau menonton video para jemaah juga boleh membaca travelogue umrah dari blog yang tersangat banyak sekarang ini . Seterusnya, para jemaah juga mengikuti kursus umrah yang dianjurkan oleh agensi yang menguruskan perjalanan mereka ke Mekah dan Madinah. Berbeza dengan jemaah umrah persendirian, mereka pula terpaksa menumpang kursus dengan pihak lain atau cuma berguru kepada mana-mana guru agama bagi mendalami cara melakukan ibadah umrah.

Akhirnya, Alhamdulillah berkat usaha berterusan tersebut dan dengan izinNya juga membolehkan jemaah umrah menunaikan umrah dengan sumpurna dan juga aktiviti ziarah tanpa sebarang masalah yang ketara sehingga memerlukan panggilan talian hayat kepada ustaz dan sebagainya. Kemusykilan kecil-kecilan tu biasalah…masih ada, tetapi masih boleh dicari jawapannya di dalam kitab dan buku panduan umrah yang di bawa ke sana. Harap-harap ibadah tersebut diterima oleh Allah kerana kita manusia hanya berusaha yang menentukan segalanya adalah Dia. Dia yang maha Mengetahui.

Nak kongsikan betapa ibadah umrah ini..yang memang agak mudah tetapi ada kalanya terlalu sering diambil mudah oleh ramai orang sehinggakan kadang-kala ia turut mengelirukan ramai rakan-rakan di sekitarnya.

Kita ambil contoh ya, yang paling penting dalam ibadah umrah ini ialah Rukun Umrah dan Wajib Umrah

Rukun Umrah ada lima iaitu:

  1. Niat
  2. Tawaf
  3. Saie’
  4. Tahalul (Bercukur/Bergunting)
  5. Tertib

Rukun umrah merujuk kepada perkara asas yang wajib dilakukan dengan betul dan sempurna. Kalau salah sahaja caranya, ibadat umrah jadi tidak sah.

Sebagai contoh tawaf. Tawaf ialah rukun umrah, maka ia wajib dilakukan dengan betul mengikut syarat-syarat yang ditetapkan. Kalau salah cara tawaf kita, maka tawaf kita dianggap tidak sah dan sekaligus umrah kita juga tidak sah.


Apa dia syarat tawaf…antara yang paling asas ialah;

Bahu kiri sentiasa menghala ke Kaabah (Kiblat).

Mudah sahaja kan…?? Tak kan itu pun tak boleh buat. Tapi masalahnya bila orang terlalu ramai yang lain juga mungkin terlepas laku dan terambil mudah atau terlupa tentang perkara ini. Semasa tawaf mengelilingi Kaabah, orang memang ramai dan tidak seperti orang kita yang lebih sopan dan bertolak ansur sifatnya, orang dari negara-negara Arab, Afrika misalnya mempunyai saiz yang lebih besar dan kasar sifatnya. Kita berkemungkinan besar akan ditolak dan dirempuh yang menyebabkan mungkin bahu kiri kita beralih arah. Itu lain ceritalah. Itu dikira tidak sengaja dan kita perlu cepat-cepat kembali membetulkan bahu dan pusingan tawaf kita masih boleh disempurnakan.

Kabah
Orang sentiasa ramai semasa tawaf. Ini baru umrah, kalau musim haji..lagilah kan.


kaabah
Tak kira waktu panas atau waktu redup, suasananya tetap sama

Sebahagian jemaah dalam keadaan biasa yang aman lagi tenteram, ada yang dengan sengaja dan sukarelanya menghalakan bahu ke arah lain.

Contohnya:

  1. Apabila tiba-tiba terdapat jemaah membelakangi kaabah kerana ingin mengambil gambar sendiri semasa sedang masa itu dia dalam tawaf.
  2. Apabila kita sengaja mendepani atau membelakangi Kaabah kerana tiba-tiba ingin mengambil gambar Kaabah atau gambar rakan/keluarga atau gambar suasana orang ramai yang sedang hampir dengan Kaabah.
  3. Dalam keadaan “selesa” ini, bahu kita akan secara automatik tidak mengirikan Kaabah lagi…betul tak? Maka kalau kita berterusan dalam keadaan begitu, sedangkan kita sedar hukumnya maka…??? tanya ustaz nanti. Tak berani nak bercerita pasal hukum di sini

Bukanlah tak boleh mengambil gambar sebagai kenangan. Faham…sungguh-sungguh faham. Tetapi tunggulah sehingga selesai proses tawaf dahulu. Selepas tu, nak posing bahu ke bawah, lutut ke atas pun, tali pusat tergantung….

kaabah
Video Rakaman semasa tawaf


Jika anda membawa hp atau cam ataupun gabungan hp+cam, tentu anda akan merakam terutama sedang melakukan tawaf atau selepas tawaf. Nak simpan gambar sedang berada di Masjidil Haram dalam keadaan pakaian ihram sebagai tanda yang anda sedang tawaf. Bagi hp pula, katakan anda sedang melakukan rukun tawaf samaada tawaf umrah wajib atau tawaf umrah sunat, bila hp berbunyi atau bergegar, adalah anda tidak akan menjawab?  bila anda berada di dalam keadaan tawafpun bila hp menerima panggilan. 50% akan menjawab hpnya. Cuba anda buka video di atas, bagaimana cameramen itu merakam, berpusing-pusing arah videonya, sudah tentu dia aakan berpusing mengikut sudut camnya.

Sebaik-baiknya janganlah bawa camera dan juga handphone semasa melakukan tawaf terutama tawaf umrah wajib kerana di khuatiri akan mengganggu ibadat tawaf itu sendiri. Bawalah cam+hp masa lain terutama masa duduk berikhtikaf dalam masjid atau masa yg sesuai.


kaabah
Kalau nak bergambar bersama Kaabah, tunggulah di masa lapang dan bukannya semasa sedang tawaf ya.


Satu lagi yang selalu dilihat ialah bila mana ada yang melakukan tawaf (dan/atau saie’) secara “berjemaah” sama ada berjemaah beramai-ramai dengan seisi rombongan kapalterbang, seisi lori, berjemaah bersama seisi keluarga ataupun sekadar berjemaah bersama isteri/suami sendiri.

Betul…melakukan ibadah bersama-sama lebih seronok, lebih bersemangat. Dalam keadaan di mana orang terlalu ramai, kita juga mungkin takut tersesat atau kehilangan ahli keluarga, rakan, isteri, suami, anak dan sebagainya. Tetapi saya ada mendengar ceramah dari seorang ustaz yang mengatakan salah satu usaha kita untuk mendapatkan umrah yang mabrur ialah tawaf dan saie’ perlu dilakukan dengan penuh khusyuk (kalau boleh jalankan ianya seolah-olah seperti kita sedang solat). Tak bolehlah masa tu jugalah kita nak bersembang yang bukan-bukan, bergurau-senda, menjawab telefon, update status Facebook, mengelamun atau melakukannya sekadar ikut-ikutan; apa yang orang hadapan atau sebelah buat, kita pun ikut sahaja.

Berbalik kepada aktiviti tawaf/saie’ secara “berjemaah” tadi. Dalam beberapa keadaan, akan berlakunya kita terputus hubungan atau kehilangan ahli kumpulan. Suami mungkin kehilangan isteri, abang mungkin kehilangan adik, pak ngah mungkin kehilangan pak busu dan sebagainya. Apa yang kita buat bila keadaan ini berlaku ialah kita akan mula mencari. Kita mungkin memandang ke belakang, kiri, kanan dan sebagainya. Kemungkinan besar kemungkinan bahu kita akan beralih arah. Itu sebabnya, pada pandangan saya, ada baiknya kita fokus dan jalankan ibadah tawaf/saie’ ini secara sendirian. Ini tidaklah bermakna kita mementingkan diri atau mengabaikan keluarga atau rakan-rakan…tetapi berjanjilah kemudiannya apabila semuanya selesai, kita akan bertemu di mana dan bolehlah kembali hati-hati yang terpisah seketika tadinya bertaut kembali. Jangan risaulah sesat di dalam Masjidil Haram kerana ianya rumah Allah…..Allah senantiasa ada untuk memastikan keselamatan ahli keluarga kita (tapi jangan cakap besar pula…nanti sesat betul-betullah jadinya pula…hee hee).

Satu lagi yang sering berlaku ialah apabila kita ingin bertukar laluan (track) semasa tawaf. Katakanlah pada pusingan tawaf yang pertama hingga ke enam, kita berada dalam pusingan yang berhampiran dengan Kaabah. Masuk pusingan ke tujuh, yang terakhir, kita mengambil keputusan untuk berada pada pusingan yang terkeluar, jauh sedikit dari Kaabah. Ini bagi membolehkan kita mudah keluar daripada kelompok manusia yang sedang bertawaf nanti apabila diperlukan. Dalam proses menukar laluan itu, ramai yang mengambil jalan mudah dengan terus melintasi orang ramai, berjalan membelakangi Kaabah sehinggalah berada pada track atau laluan yang dikehendaki. Bukankah itu juga bermakna bahu kita tidak lagi mengirikan Kaabah? Mudah sahaja kan untuk kita menyebabkan tawaf kita tidak sah…tanpa kita sedar walaupun kita tahu hukum-hakamnya.

kaabah


Saf dalam (dekat dengan Kaabah) biasanya jauh lebih sibuk berbanding dengan saf yang agak terkeluar. Hati-hati agar tidak membelakangi Kaabah sekiranya kita bercadang ingin menukar laluan (track tawaf – saf).

Tawaf


Jemaah berkerusi roda juga ramai di sini. Hati-hati kerana semasa kita ingin mengelak atau melarikan diri daripada kerusi roda ini, kita mungkin tertukar niat ataupun membelakangkan Kaaabah tanpa kita sedari.

Selain dari masalah bahu yang tidak mengirikan kaabah semasa tawaf, satu lagi masalah yang timbul ialah hati kita yang tidak fokus. Ada ustaz yang memaklumkan bahawa hati dan fikiran kita perlu fokus (khusyuk) semasa melakukan tawaf dan saie’. Tak boleh beralih niat. Contohnya…katakanlah kita sedang bertawaf pada pusingan ketiga, tiba-tiba kita terbayangkan bahawa bertawaf mengelilingi Kaabah ni tak jauh bezanya dengan aktiviti kita semasa kita kecil-kecil dahulu, bermain kejar-kejar mengelilingi pondok bersama adik-beradik dan kita terus mengelamun selama beberapa minit sehingga selesai satu pusingan tawaf. Maka kalau kita benar-benar prihatin dan berusaha untuk memastikan tawaf kita benar-benar diterima olehNya, pusingan mengelamun tadi dianggap batal dan perlu diulang semula kerana niat kita bertawaf pada pusingan tersebut telah berubah tanpa kita sedari.

Begitu juga sekiranya kita bersama rakan, ahli keluarga, suami/isteri. Katakanlah tiba-tiba mereka hilang dari pandangan kita buat beberapa ketika dalam mana-mana pusingan tawaf. Kita pun sibuk mencari…buat beberapa ketika, kita berjalan mengelilingi Kaabah bukan lagi atas niat untuk tawaf, sebaliknya kita sedang mencari rakan, sanak saudara, isteri, suami, anak dan sebagainya. Bukankah itu juga bermakna niat kita sudah berubah dan sepanjang berapa langkah yang kira ambil untuk mencari itu dianggap tidak sah. Sekiranya kita cepat sedar dan prihatin, mungkin kita akan mengundur dan mengulang semula langkah-langkah yang tersasar tadi mahupun menggantikan pusingan itu secara keseluruhannya. Tetapi bagi yang tidak peka…??? Bagaimana dengan pusingan tawaf mereka? Bagaimana dengan umrah mereka? Wallahualam.

Really…?? Serius…??? Ntahlah. Sebab itu yang saya baca dan dengar dan cuba usahakan. Apa jadi kalau tawaf tak sah..?? Umrah pun akan tidak sah…??? No problem…sebab nanti kita boleh buat umrah sunat lagi atau bayar dam untuk cover…kata orang. Tetapi sedarkah kita sekiranya tawaf tak sah, umrah tak sah…secara automatik kita masih dalam keadaan berihram sepanjang masa dan terikat dengan larangan semasa berihram (termasuk dalam Wajib Umrah) antaranya:
Mengugurkan rambut atau bulu di badan (sama ada dengan cara menggunting, mencukur,menggosok, mencabut, mengesat, mengelap dan sebagainya)
Memakai minyak rambut pada kepala (dan misai/janggut, bagi lelaki)
Menggunakan bau-bauan pada badan, pakaian,makanan atau minuman
Memakai sarung tangan
Mengerat kuku
Memburu atau membunuh binatang yang halal dimakan sama ada di Tanah Haram atau di Tanah Halal
Menebang, memotong, mencabut atau merosakkan pokok atau tumbuhan di Tanah Haram (sahaja)
Berakad nikah sama ada berijab atau qabul untuk diri sendiri atau bertindak bagi pihak orang lain
Bercumbuan atau mukadimah persetubuhan
Melakukan persetubuhan

Maksudnya…?? Huh…takut kan? Kena pergi jumpa ustaz untuk dapatkan maklumat lebih lanjut ni. Saya tak berani nak ulas lebih mendalam…takut salah.

Bercakap mengenai larangan ihram ni pun satu. Nampak macam mudah, tetapi ramai juga yang mungkin terleka dan sama ada sedar atau tidak…melanggar larangan ihram tersebut.

Beberapa contoh yang dapat saya perhatikan (pada pandangan saya, perkara ini melanggar larangan ihram tetapi mungkin tidak pada pandangan yang lain…wallahualam)
Dalam keadaan berihram (masih belum selesai umrahnya), seorang lelaki membasuh tangan menggunakan sabun (wangi) selepas makan. Apabila ada rakan yang menegur, dia hanya menjawab : “ehhhh apa salahnya. Untuk kebersihan..nak hilangkan bau kari ni haa. Lagipun, bukannya guna banyak pun”

Saya difahamkan, kalau niat penggunaan untuk tujuan pembersihan, hukumnya Harus tetapi sekira niat penggunaannya untuk berwangi-wangian, hukumnya haram dan perlu membayar dam. Apa jadi dengan umrah kita sekiranya kita tidak prihatin dan seterusnya tidak berusaha membayar dam sehinggalah selesai dan kembali ke tanah air? Wallahualam.

Satu contoh lain; dalam keadaan berihram (masih belum selesai umrahnya), seorang lelaki di dapati menukar pakaiannya kepada kain pelikat dan baju melayu untuk solat zohor. Apabila ada rakan yang menegur…”ehhhh ko dah selesai umrah ke..?? Cepatnya.” Jawab beliau “belum lagi. Panaslah sekarang ni. Aku cadang buat lepas Asar nanti…”

Ntahlah. Saya rasa dan yakin saya ni jahil jadi tak berani untuk membuat ulasan selanjutnya. Namun demikian ianya merupakan sesuatu perlu dipandang serius dan perlu diperdalami agar kita semua tidak terlalu mengambil mudah tentang ibadah ini.

Apa yang dapat saya perhatikan berdasarkan ilmu yang terlalu cetek ini…umrah bukannya satu ibadah yang susah sekiranya kita tidak terlalu ambil mudah. Tetapi…ianya juga bukanlah merupakan satu ibadah yang mudah dan tidak perlu membuat sebarang persediaan kerana jika tidak…kita hanya melaksanakan umrah secara ikut-ikutan. Jika tidak, mana mungkin kita akan melihat atau mendengar :
Orang perempuan turut berlari sama di kawasan lampu hijau semasa saie’ (Berlari disunatkan hanya untuk lelaki).
Orang perempuan beristilam di Hajar Aswad semasa tawaf dengan mengangkat tangan setinggi mungkin sehingga menampakkan aurat (lengan) sedangkan sepatutnya mereka mengangkat sedikit sahaja tangan. Aurat yang terbuka membatalkan tawaf sekiranya tidak dibetulkan segera. Wallahualam…
Seorang rakan dengan bangganya bercerita bahawa beliau berjaya juga akhirnya solat sunat dan berdoa di dalam kawasan Hijir Ismail dengan cara menyelit dalam pusingan tawafnya. (Hijir Ismail merupakan sebahagian daripada Kaabah dan berada di dalam kawasannya atau menyentuhnya semasa kita sedang tawaf, menyebabkan pusingan tawaf tersebut batal atau tidak sah).

Sebenarnya banyak lagi perkara pelik-pelik yang dapat diperhatikan sepanjang kami di sana. Tetapi ikut kata ustaz….kita cuba seboleh mungkin bersangka baik sahajalah. Mazhab yang berbeza juga menyebabkan ibadah umrah ini begitu bewarna-warni dengan kepelbagaian….maka sewajarnya kita bersedia dengan ilmu secukupnya kerana jika tidak, ibadah umrah kita kelak akan menjadi ibadah ikut-ikutan semata. Apa yang kita lihat orang lakukan, kita mungkin akan terikut-ikut tanpa menyedari ianya mungkin suatu Bida'ah ataupun mungkin sesuatu yang dilarang.

Mohon maaf atas segala pandangan yang mungkin silap. Saya cuma seorang yang sedang belajar dan ingin terus belajar. Mohon dibetulkan segala maklumat yang salah dan mohon maaf sekira ada yang tersalah faham dan terkecil hati apabila terbaca tulisan ini. Maaf sangat-sangat….


Selasa, Februari 04, 2014

Sejarah Makkah dan Sejarah Tawaf


Assalamualaikum wbt.

Ramai di kalangan kita yang pergi ke tanah suci tidak mengetahui secara terperinci pengajaran yang boleh diambil di sebalik kerja-kerja ibadah Umrah ataupun Haji. Mengapa kita tawaf, misalnya atau sejarah Kaabah itu sendiri. Begitu juga pengajaran yang boleh kita ambil di sebalik kerja saie. Bila kita mengetahui sejarah atau kisah disebalik ibadah yang kita lakukan, ini boleh menimbulkan keinsafan dan juga dapat memberikan penghayatan yang bermakna ketika ibadah itu dilaksanakan.

Makkah berasal dari kalimah ‘Bakkah’ ertinya tanah lembah yang dikelilingi deretan bukit batu. Di sana telah wujud satu binaan paling awal sebagai tempat ibadah dipanggil ‘Baitullah’ yang penuh dengan keberkatan. Firman Allah dalam Surah Ali Imran:96-97) yang bermaksud :

“ sesungguhnya rumah ibadah yang mula-mula dibina untuk manusia ialah Baitullah di Makkah, yang barakah dan dijadikan pertunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya, antaranya ialah Maqam Ibrahim). Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia”

Mengikut setengah riwayat, Baitullah dibina oleh malaikat dijadikan sebagai tempat tawaf dengan tujuan untuk kaffarah atau menebus dosa atas ketelanjuran mereka seperti memprotes tidak setuju Nabi Adam a.s dijadikan sebagai Khalifah Allah di muka bumi. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 30 maksudnya :

“ dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, sesungguhnya Aku (Allah) hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka berkata, ‘adakah engkau (wahai Tuhan) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, pada hal kami (para malaikat) sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu? Tuhan berfirman, sesungguhnya aku mengetahui akan apa yang kamu tidak ketahuinya.”

Para malaikat telah menyesali atas ketelanjuran mereka seolah-olah tidak bersetuju Nabi Adam a.s dijadikan khalifah di muka bumi, lalu mereka telah menebus dosa mereka (melakukan kaffarah) dengan tawaf mengelilingi Arasy. Oleh kerana Arasy itu tersangat luas maka Allah swt pun mencipta suatu binaan lain yang lebih kecil dan sesuai untuk para Malaikat melakukan tawaf dinamakan Baitul Ma’mur. Komposisi Baitul Ma’mur itu tidak dijelaskan oleh Allah, tetapi itulah tempat tawaf bagi para malaikat di langit bagi menggantikan Arasy. Dan kedudukan Baitul Ma’mur itu dikatakan betul-betul di bawah Arasy.

Manakala para malaikat yang bertugas di bumi, Allah telah menyuruh mereka agar membina suatu binaan yang fungsinya menyamai fungsi Baitul Ma’mur di langit, iaitu sebagai tempat tawaf bagi diri mereka di bumi. Itulah Baitullah atau Kaabah yang terletak di tengah-tengah Masjidil Haram di Makkah. Ia dikatakan selari dengan kedudukan Arasy di langit.

Kemudian dikatakan apabila Nabi Adam dan Hawa bertemu di Jabal Rahmah, sebuah bukit di Arafah, iaitu setelah kedua-duanya terpisah sekian lama yakni setelah dikeluarkan dari syurga, maka mereka berdua telah pergi ke Makkah lalu bertawaf atau mengelilingi Kaabah yang telah wujud di sana. Dan, mereka berdua itulah yang mula-mula tawaf daripada kalangan manusia.

Setelah berlalu ratusan bahkan ribuan tahun sejak Kaabah itu dibina oleh malaikat di bumi Makkah, maka Allah swt telah menitahkan kepada Nabi Ibrahim a.s dan puteranya Nabi Ismail untuk membina semula Kaabah setelah berlaku kerosakan, dan memakmurkan Makkah sebagai pusat ibadah dan kota suci Umat Islam.

Beberapa tahun sebelum itu, Ismail bersama ibunya Hajar diletakkan di sisi Kaabah, sedang Nabi Ibrahim a.s meninggalkan mereka berdua kerana baginda a.s terpaksa pulang ke Palestin atas tugas dakwah kepada masyarakat di sana. Sebelum meninggalkan mereka berdua, Nabi Ibrahim a.s berdoa dalam surah Ibrahim ayat ke 37 bermaksud :-

” Wahai Tuhanku, Aku telah menempatkan sebahagian daripada keluargaku di sebuah lembah yang tandus tiada tumbuh-tumbuhan di sana, di sisi RumahMu yang diharamkan mencerobohnya. Wahai Tuhan kami (mereka ditempatkan di situ) supaya mendirikan solat (dan memakmurkannya dengan ibadah). Oleh itu jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik kepada mereka. (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada pelbagai jenis buah-buahan , semoga mereka bersyukur.”

Seterusnya Nabi Ibrahim berdoa dalam surah al_Baqarah ayat 126 bermaksud :

” Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki daripada pelbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat di antara mereka.”

Alhamdulillah berkat doa Nabi Ibrahim a.s dan berkat kesabaran Hajar , akhirnya telah wujud telaga Air ZamZam yang airnya tidak putus-putus dan Makkah mula dikunjungi orang. Kemudian akhirnya ia telah menjadi kota suci yang aman dan makmur, sentiasa dikunjungi oleh umat Islam dari seluruh pelusuk muka bumi mengerjakan haji dan umrah.

Berkat doa Nabi Ibrahim a.s juga kita boleh dapati pelbagai jenis buah-buahan dari seluruk pelusuk dunia ada di Makkah. Jangan terperanjat, jika kita jumpa petai atau jering di tanah suci. Bak kata orang sekarang, semuanya ada.

Sebahagian maklumat dipetik dari Buku Bimbingan Umrah & Ziarah, susunan Ustaz Haji Safwan Fathy dan sebahagian dari anak beliau Hj Iqbal

Amalan Yang Lebih Utama Semasa di Makkah

Assalamualaikum wbt.

Syukur ke hadrat Allah swt kerana dengan limpahan kasih sayangNya kita diberi keluasan rezeki sehingga membolehkan kita menunaikan Umrah di tanah suci dan menziarahi Makam Nabi di Madinah. Ketika menjadi Tetamu Allah semestinya perasaan untuk tekun melakukan amal ibadah melebihi dari kebiasaan. Kekadang rasa pelik, semasa di tanah air kita amat malas untuk melakukan amalan-amalan sunat, hanya yang wajib sahaja dilakukan. Itu pun ada kalanya dengan rasa berat hati bagi mereka yang lemah imannya. Berbeza semasa berada di tanah suci. Asal masuk sahaja ke Masjid tidak kira di Makkah atau Madinah kita terus melakukan Solat Sunat.

Semangat berkobar-kobar untuk menambahkan amalan sememangnya satu sikap yang terpuji. Dan amat lebih baik lagi kita kekal “istiqomah” dalam ibadah atau bahasa mudahnya “konsisten”. Jangan hanya di tanah suci sahaja, balik ke tanah air kita kembali kepada asal. Sebagai Tetamu Allah sewajarnya kita mendalami ilmu agama dengan tekun supaya kita arif mengenai hukum hakam dalam agama.

Ibadah mana yang perlu diutamakan atau diberi “prioriti” berbanding dengan ibadah yang lain. Jangan sampai amalan kita menjadi sia-sia lantaran jahil mengenai sesuatu hukum. Asal selesai sahaja solat fardhu berjemaah terus dilakukan solat sunat. Sedangkan ada masanya haram untuk kita melakukan solat sunat tanpa sebab yang membolehkan. “Hentam sahaja, asal solat” kerana mengharapkan pahala yang banyak. Masih ada di kalangan jemaah yang melakukan solat sunat selepas solat Asar di Masjid Nabawi.

Semasa di Makkah, ramai di kalangan jemaah yang membanyakkan amalan Umrah Sunat. Malah ada yang menganggap Umrah Sunat yang dilakukan sebanyak 7 kali menyamai pahala Haji. Walhal tidak ada nas al-Quran, hadis mahupun ijmak Ulamak yang menyatakan sedemikian. Pernah seorang jemaah mengumumkan di Dewan Makan, “malam ini saya jamu semua jemaah dengan Jamuan Makan kerana telah selesai menyempurnakan Umrah Sunat sebanyak 7 kali”. Begitu yakin jemaah ini dengan sangkaannya. Walhal dibimbangi ibadah yang dilakukan jika di war-warkan akan menyebabkan sipelaku menjadi riak. Amalan yang ditunjukkan dengan mengharapkan pujian orang, sia-sia sahajalah jawabnya. Kasihan.


Tawaf

Sebenarnya amalan yang paling afdhal semasa di Tanah Haram ialah memperbanyakkan Tawaf Sunat dan bukannya memperbanyakkan Umrah Sunat. Mengapa kita bertawaf ? Sila rujuk kepada entry terdahulu di bawah tajuk Sejarah Makkah dan Sejarah Tawaf.

Mengapa amalan Tawaf ini lebih baik berbanding dengan amalan-amalan lain di Tanah Haram ?

Saya teringat ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Dato Hj Kamal Mohamad, mantan Konsul Haji di Jeddah dan juga Pengurus Haji Swasta beberapa waktu dahulu. Katanya Tawaf itu Sunatullah. Semua makhluk Allah yang melata di bumi hatta di langit sekalipun bertawaf sebagai menunjukkan ketaatan mereka patuh kepada Allah. Bintang-bintang di langit, planet-planet yang berada di angkasa lepas semuanya berpusing ikut lawan jam mengelilingi matahari mengikut paksinya. Malah zarah sekecil atom turut sama berpusing mengikut aturan Allah. Jika semua makhluk Allah bertawaf sebagai menunjukkan kepatuhan mereka beribadah kepada Allah, maka sebagai manusia yang dikurniakan Allah dengan banyak kelebihan sewajarnyalah memperbanyakkan Tawaf sebagai tanda kita taat dan patuh kepada Allah yang Esa.

Ibnu Abbas r.a mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda ” Sesungguhnya setiap hari Allah menurunkan 120 rahmat kepada Baitullah ini. 60 rahmat untuk orang yang bertawaf, 40 rahmat untuk orang yang mengerjakan solat dan 20 rahmat untuk orang yang memandang Baitullah”.

Anas bin Malik pula mengatakan Rasulullah s.a.w bersabda ” 2 jenis tawaf di mana apabila seorang hamba Allah dapat melakukannya, niscaya seluruh dosanya akan diampuni seperti ketika ia dilahirkan oleh ibunya. Dua jenis tawaf itu adalah tawaf setelah solat Subuh yang selesai bersamaan dengan terbitnya matahari dan tawaf setelah solat Asar yang selesai bersamaan dengan terbenamnya matahari.” Kerana itu jika perasan, pada 2 waktu inilah bilangan jemaah yang bertawaf bertambah berlipat kali ganda berbanding sebelumnya. Malah saya ada mendengar seorang Ustaz berceramah, pada waktu inilah berlakunya pertukaran shif Malaikat yang mencatit amalan kebaikan.

Ibnu Umar pula menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, ” Barangsiapa melakukan Tawaf di Baitullah, maka Allah Azza Wa Jalla akan mencatat satu kebaikan dan menghapuskan satu keburukan bagi setiap langkahnya serta diangkat satu darjat untuknya.” AllahuAkbar. Berapa banyak langkah yang kita lakukan semasa kita sedang bertawaf ? Sebanyak itulah kebaikan pahala yang kita dapat dan sebanyak itulah juga dosa kita terampun.

Sebagai renungan, cuba kita perhatikan jemaah yang sedang bertawaf di sekeliling Kaabah. Ramai yang berpakaian biasa bertawaf Sunat atau berpakaian Ihram Umrah ? Jumpa lagi dan Wassalam.

Khamis, Disember 19, 2013

Rukun Umrah ke 2: Tawaf



Tawaf:
Disunatkan menghadap kaabah pada permulaan Tawaf iaitu secara menjadikan Hajarulaswad berada di kanannya kemudian dia berpindah pula untuk menghadap Hajarulaswad dan berniat tawaf (tawaf Umrah atau tawaf Qudum).

Dia mulakan dari marmar yang berwarna coklat sambil membaca:

(بسم الله والله أكبر اللهم إيماناً بك وتصديقاً بكتابك ووفاء بعهدك وإتباعاً لسنة نبيك).

Dia melambai Hajarulaswad dan mengucupnya jika dapat berbuat demikian.
Tetapi jika tidak dapat mengucupnya, dia bolehlah menyentuhnya dengan menggunakan tangan kanannya (istilah) kemudian mencium tangannya.
Jika dia masih juga tidak dapat berbuat demikian dia bolehlah berdiri menghadap Hajarulaswad sambil mengisyaratkan kepadanya dengan menggunakan kedua belah tangannya sebanyak sekali sahaja sambil dia menyebut (بسم الله والله أكبر) kemudian dia memulakan tawaf.

Cara isyarat tangan (dia mengangkat kedua belah tangannya sehingga ke paras bahu sambil menjadikan tapak tangan ke arah Hajarulaswad dan menunjukkan kedua-dua belah tangannya sebanyak sekali sahaja)


Tawaf adalah terdiri dari tujuh pusingan, disunatkan berlari-lari anak pada tiga pusingan pertama dan ittiba' (sopan) pada setiap pusingan yang lain dan setiap tawaf mesti disululi dengan Saie.
(Berlari-lari anak dan ittiba' (sopan) bagi lelaki sahaja), ia dilakukan di dalam tawaf yang disusuli dengan saie sahaja, apabila selesai dari tawaf dia menutup kedua bahunya.
Dipintu Kaabah dia membaca:

(اللهم إن البيت بيتك، والحرم حرمك، والأمن أمنك، وهذا مقام العائذ بك).

Dirukun Iraqi dia membaca:

(اللهم إني أعوذ بك من الشك و الشرك والشقاق والنفاق وسوء الأخلاق وسوء المنظر في المال والأهل والولد).
Dirukun Syami dan Yamani dia membaca:
(اللهم اجعله حجاً مبروراً وسعياً مشكوراً وذنباً مغفوراً وعملاً مقبولاً وتجارة لن تبور يا عزيز يا غفور).
Dia disunatkan istilam rukun Yamani setiap kali dia melaluinya di dalam tawaf iaitu dengan menyentuh rukun ini dengan menggunakan dua belah tapak tangannya atau dengan menggunakan tangan kanannya. Sekiranya tidak dapat berbuat demikian dia boleh digantikan dengan mengisyarat kepadanya sahaja malah sunat berdoa di rukun Yamani kerana ia adalah mustajab di mana di sana terdapat seramai tujuh puluh ribu malaikat yang akan menyebut amin.

Supaya sah tawaf, orang yang melakukan tawaf hendaklah berhenti betul-betul dari berjalan ketika istilam rukun Yamani.

Di antara rukun Yamani dan Hajarulaswad dia membaca:

(رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ)

(اللهم إني أعوذ بك من الكفر والفاقة ومواقف الخزي في الدنيا والآخرة).
Pada tiga pusingan tawaf yang pertama dia hendaklah banyak membaca:
(اللهم اجعله حجاً مبروراً وذنباً مغفوراً وسعياً مشكورا.)
Manakala pada empat pusingan yang berbaki dia membaca:
(اللهم اغفر وارحم واعف وتكرم، وتجاوز عما تعلم, إنك أنت الأعز الأكرم)
Banyak berdoa untuk memohon kebaikan di dunia dan akhirat.
Pada penutup tawaf, dia istilam Hajarulaswad atau dia mengisyaratkan kepadanya dengan menggunakan dua belah tapak tangan dan pada setiap kali dia melalui di hadapannya ketika tawaf.

Sembahyang Sunat Tawaf Dua Rakaat:

Selepas selesai tawaf dia mendirikan sembahyang sunat tawaf sebanyak dua rakaat di belakang maqam Ibrahim walaupun di hujung Masjidilharam ataupun harus dilakukan di mana-mana tempat di dalam Masjidilharam ketika keadaan penuh sesak.

Pada rakaat pertama dia membaca: (قل يا أيها الكافرون) dan pada rakaat yang kedua pula dia membaca (قل هو الله آحد) selepas membaca Al-Fatihah.

Allah s.w.t berfirman:
(واتخذوا من مقام إبراهيم مُصَلَّى)

Yang bermaksud:
Jadikanlah maqam Ibrahim itu sebagai tempat sembahyang.

Selepas sembahyang dia berdoa:

(اللهم إنك دعوت عبادك إلى بيتك, وقد جئت طالباً رحمتك, ومبتغياً رضوانك, وأنت مننت علي بذلك, فاغفر لي, إنك على كل شيء قدير)

Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, tawaf di baitullah adalah sembahyang cuma Allah mengharuskan bercakap, oleh yang demikian sesiapa yang ingin bercakap jangan dia bercakap melainkan perkara yang baik sahaja. Malah di dalam tawaf juga disyaratkan supaya suci dari hadas besar dan kecil serta menutup aurat.


Di dalam keadaan terputus tawaf untuk sembahyang atau memperbaharui wuduk, tawaf hendaklah disempurnakan dari awal pusingan yang sedang dia berada.


                        Memasuki-kota-mekah <<<<<<                         
                                                           >>>>>> saie


Ke Atas

Catatan Popular



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Visitor Umrah Persendirian