Perhatian

Hadis Nabi Muhammad s.a.w :

"Satu umrah ke satu umrah menghapuskan dosa di antara keduanya, dan haji yang mabrur tiada balasan baginya melainkan syurga."
Blogger TIDAK menyediakan atau menganjurkan apa-apa pakej UMRAH mahupun pakej pelancungan bentuk lain. Sebarang maklumat yang di paparkan di sini adalah sekadar pandangan serta panduan mengikut pendapat admin dan pembaca jika ada pengunjung yang mengalami apa-apa kerugian akibat membaca blog ini adalah menjadi tanggungjawab pembaca itu sendiri. Sebarang komen dalam hal berkaitan umrah back packer adalah di alu-alukan bagi membantu rakan taulan melaksanakan UMRAH secara termurah, bagaimanapun janganlah komen yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak. Terima kasih dan berkunjunglah selalu ke blog ini.

Malaysian Ringgit Calculator

Carian

Selasa, Februari 04, 2014

Sejarah Makkah dan Sejarah Tawaf


Assalamualaikum wbt.

Ramai di kalangan kita yang pergi ke tanah suci tidak mengetahui secara terperinci pengajaran yang boleh diambil di sebalik kerja-kerja ibadah Umrah ataupun Haji. Mengapa kita tawaf, misalnya atau sejarah Kaabah itu sendiri. Begitu juga pengajaran yang boleh kita ambil di sebalik kerja saie. Bila kita mengetahui sejarah atau kisah disebalik ibadah yang kita lakukan, ini boleh menimbulkan keinsafan dan juga dapat memberikan penghayatan yang bermakna ketika ibadah itu dilaksanakan.

Makkah berasal dari kalimah ‘Bakkah’ ertinya tanah lembah yang dikelilingi deretan bukit batu. Di sana telah wujud satu binaan paling awal sebagai tempat ibadah dipanggil ‘Baitullah’ yang penuh dengan keberkatan. Firman Allah dalam Surah Ali Imran:96-97) yang bermaksud :

“ sesungguhnya rumah ibadah yang mula-mula dibina untuk manusia ialah Baitullah di Makkah, yang barakah dan dijadikan pertunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya, antaranya ialah Maqam Ibrahim). Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia”

Mengikut setengah riwayat, Baitullah dibina oleh malaikat dijadikan sebagai tempat tawaf dengan tujuan untuk kaffarah atau menebus dosa atas ketelanjuran mereka seperti memprotes tidak setuju Nabi Adam a.s dijadikan sebagai Khalifah Allah di muka bumi. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 30 maksudnya :

“ dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, sesungguhnya Aku (Allah) hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka berkata, ‘adakah engkau (wahai Tuhan) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, pada hal kami (para malaikat) sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu? Tuhan berfirman, sesungguhnya aku mengetahui akan apa yang kamu tidak ketahuinya.”

Para malaikat telah menyesali atas ketelanjuran mereka seolah-olah tidak bersetuju Nabi Adam a.s dijadikan khalifah di muka bumi, lalu mereka telah menebus dosa mereka (melakukan kaffarah) dengan tawaf mengelilingi Arasy. Oleh kerana Arasy itu tersangat luas maka Allah swt pun mencipta suatu binaan lain yang lebih kecil dan sesuai untuk para Malaikat melakukan tawaf dinamakan Baitul Ma’mur. Komposisi Baitul Ma’mur itu tidak dijelaskan oleh Allah, tetapi itulah tempat tawaf bagi para malaikat di langit bagi menggantikan Arasy. Dan kedudukan Baitul Ma’mur itu dikatakan betul-betul di bawah Arasy.

Manakala para malaikat yang bertugas di bumi, Allah telah menyuruh mereka agar membina suatu binaan yang fungsinya menyamai fungsi Baitul Ma’mur di langit, iaitu sebagai tempat tawaf bagi diri mereka di bumi. Itulah Baitullah atau Kaabah yang terletak di tengah-tengah Masjidil Haram di Makkah. Ia dikatakan selari dengan kedudukan Arasy di langit.

Kemudian dikatakan apabila Nabi Adam dan Hawa bertemu di Jabal Rahmah, sebuah bukit di Arafah, iaitu setelah kedua-duanya terpisah sekian lama yakni setelah dikeluarkan dari syurga, maka mereka berdua telah pergi ke Makkah lalu bertawaf atau mengelilingi Kaabah yang telah wujud di sana. Dan, mereka berdua itulah yang mula-mula tawaf daripada kalangan manusia.

Setelah berlalu ratusan bahkan ribuan tahun sejak Kaabah itu dibina oleh malaikat di bumi Makkah, maka Allah swt telah menitahkan kepada Nabi Ibrahim a.s dan puteranya Nabi Ismail untuk membina semula Kaabah setelah berlaku kerosakan, dan memakmurkan Makkah sebagai pusat ibadah dan kota suci Umat Islam.

Beberapa tahun sebelum itu, Ismail bersama ibunya Hajar diletakkan di sisi Kaabah, sedang Nabi Ibrahim a.s meninggalkan mereka berdua kerana baginda a.s terpaksa pulang ke Palestin atas tugas dakwah kepada masyarakat di sana. Sebelum meninggalkan mereka berdua, Nabi Ibrahim a.s berdoa dalam surah Ibrahim ayat ke 37 bermaksud :-

” Wahai Tuhanku, Aku telah menempatkan sebahagian daripada keluargaku di sebuah lembah yang tandus tiada tumbuh-tumbuhan di sana, di sisi RumahMu yang diharamkan mencerobohnya. Wahai Tuhan kami (mereka ditempatkan di situ) supaya mendirikan solat (dan memakmurkannya dengan ibadah). Oleh itu jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik kepada mereka. (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada pelbagai jenis buah-buahan , semoga mereka bersyukur.”

Seterusnya Nabi Ibrahim berdoa dalam surah al_Baqarah ayat 126 bermaksud :

” Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki daripada pelbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat di antara mereka.”

Alhamdulillah berkat doa Nabi Ibrahim a.s dan berkat kesabaran Hajar , akhirnya telah wujud telaga Air ZamZam yang airnya tidak putus-putus dan Makkah mula dikunjungi orang. Kemudian akhirnya ia telah menjadi kota suci yang aman dan makmur, sentiasa dikunjungi oleh umat Islam dari seluruh pelusuk muka bumi mengerjakan haji dan umrah.

Berkat doa Nabi Ibrahim a.s juga kita boleh dapati pelbagai jenis buah-buahan dari seluruk pelusuk dunia ada di Makkah. Jangan terperanjat, jika kita jumpa petai atau jering di tanah suci. Bak kata orang sekarang, semuanya ada.

Sebahagian maklumat dipetik dari Buku Bimbingan Umrah & Ziarah, susunan Ustaz Haji Safwan Fathy dan sebahagian dari anak beliau Hj Iqbal

Catatan Popular



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Visitor Umrah Persendirian