Perhatian

Hadis Nabi Muhammad s.a.w :

"Satu umrah ke satu umrah menghapuskan dosa di antara keduanya, dan haji yang mabrur tiada balasan baginya melainkan syurga."
Blogger TIDAK menyediakan atau menganjurkan apa-apa pakej UMRAH mahupun pakej pelancungan bentuk lain. Sebarang maklumat yang di paparkan di sini adalah sekadar pandangan serta panduan mengikut pendapat admin dan pembaca jika ada pengunjung yang mengalami apa-apa kerugian akibat membaca blog ini adalah menjadi tanggungjawab pembaca itu sendiri. Sebarang komen dalam hal berkaitan umrah back packer adalah di alu-alukan bagi membantu rakan taulan melaksanakan UMRAH secara termurah, bagaimanapun janganlah komen yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak. Terima kasih dan berkunjunglah selalu ke blog ini.

Malaysian Ringgit Calculator

Carian

Isnin, Mac 31, 2014

Rukun Umrah tidak Berubah Walaupun Mengerjakan Umrah Persendirian

                                          

RUKUN UMRAH

Rukun Umrah:- Iaitu perkara asas yang mesti dilakukan dan sekiranya tertinggal salah satu,maka terbatallah ibadah umrah dan terpaksa mengulanginya semua amalan itu hingga selesai dan wajib diqada’kan. Jika melakukan rukun dengan tidak memenuhi syarat juga tidak sah dan terlanggar larangan dalam ihram, haruslah membayar dam




Rukun Umrah ada lima iaitu :-
  1. Niat 
  2. Tawaf di Baitullah
  3. Sae’i di antara Bukit Safa dan Marwah.
  4. Bercukur atau bergunting
  5. Tertib



BERIHRAM

Ihram bererti memakai pakaian ihram di miqat tertentu serta niat.


NIAT IHRAM UMRAH

نَوَيْتُ الْعُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِهَا لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya : Sahaja aku mengerjakan umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala.



Wanita yang sedang berhaid dan nifas boleh berniat Umrah dan terpaksa menunggu hingga bersih, barulah boleh melakukan Tawaf untuk Umrahnya dan menyelesaikan segala amalan amalan Umrahnya yang lain.



PERKARA-PERKARA YANG HARAM SEMASA IHRAM
  1. Menutup kepala bagi lelaki dan menutup muka serta memakai sarung tangan bagi wanita. 
  2. Memakai pakaian berjahit bagi lelaki. 
  3. Memakai bau-bauan pada badan, pakaian, dan makanan. 
  4. Memakai minyak pada rambut dan janggut. 
  5. Mencabut bulu atau rambut dari badan 
  6. Memotong kuku. 
  7. Membunuh binatang buruan. 
  8. Bercumbu-cumbuan yang menaikkan nafsu syahwat. 
  9. Jimak (bersetubuh) 

Melakukan akad nikah, mewalikan pernikahan, atau menikahkan. Nikah yang dilakukan dalam masa ihram adalah tidak sah.




Hukum melanggar larangan dalam ihram

   Terdapat 3 hukuman kepada mereka yang melanggar larangan dalam ihram:
  1. Melakukan dengan hajat dan tanpa uzur, hukumnya berdosa dan wajib membayar dam 
  2. Melakukan tanpa niat tetapi terpaksa, hukumnya tidak berdosa tetapi wajib membayar dam 
  3. Kerana uzur atau jahil (tidak tahu), terlupa, dipaksa atau dilakukan ketika tidur maka tidak berdosa dan tidak dikenakan dam. 


Perkara sunat dalam Ihram
  1. Mandi sunat ihram
  2. Sembahyang sunat ihram.
  3. Bagi wanita pula sunat menginaikan kedua dua tangannya..
  4. Waktu yang paling baik untuk berniat ihram ialah waktu kenderaan dan kenaikan mula bergerak dan sekiranya berjalan kaki ialah sewaktu memulakan langkah.
  5. Bacaan talbiah dalam perjalanan dari miqat menuju ke Tanah Haram Makkah. Bacaan Talbiah: 

"لبيك اللهم لبيك, لبيك لاشريك لك لبيك, ان الحمد, والنعمة لك والملك, لاشريك لك"

“Hambamu telah datang menyahut panggilanMu,Ya Tuhan,hambaMu datang menyahut panggilanMu, Sesungguhnya segala puji pujian dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu dan tidak ada sekutu bagiMu”

6. Selawat, selepas talbiah berselawatlah sekurang kurangnya 3 kali. Adalah lebih afdal membaca selawat sebagaimana selawat yang dibaca di akhir tasyahud dalam solat fardu:
“اللهم صل على سيد نامحمد وعلى آل سيدنا محمد”

“Ya Allah, rahmatilah penghulu kami, Muhammad dan ke atas keluarga penghulu kami Muhammad”




Perkara yang diharuskan semasa Ihram
  1. Membasuh kepala dengan sebarang bahan yang boleh membersihkannya.menggunakan celak yang tidak mempunyai bau harum. 
  2. Celak batu makruh digunakan kecuali jika perlu. 
  3. Berkhatan,berbekam dan membuang darah melalui urat juga diharuskan. 
  4. Mencabut gigi, membalut anggota yang patah 
  5. Mendendangkan syair yang tidak mengandungi unsur unsur dosa. 
  6. Menggunakan cermin tilik 
  7. Membunuh binatang yang jahat seperti tikus,begitu juga binatang buas, serangga yang membahayakan seperti nyamuk,lalat dan sebagainya mengikut pendapat jumhur Ulama’ selain Ulama’ Maliki. 
  8. Memburu binatang air, menyembelih binatang peliharaan jinak seperti ayam, itik dan sebagainya yang dipelihara. 
  9. Berteduh di bawah bayangan rumah,berpayung dan sebagainya yang tidak bersentuh dengan kepala. 
  10. Memakai tali pinggang tempat menyimpan wang 
  11. Membawa senjata dan memerangi seteru, begitu juga memakai jam dan cincin 
  12. Mengurangkan percakapan dalam semua keadaan. 


Hikmah berihram

Orang orang Islam yang beriman kepada Allah, tidak akan membezakan satu sama lain samada keturunan,pangkat, warna kulit, pakaian dan kedudukan. Oleh itu di dalam ihram diwajibkan memakai pakaian yang tidak berjahit dan berwarna putih supaya kita tidak dapat membezakan antara satu sama lain dan di sisi Allah semua makhluknya adalah sama, yang membezakannya adalah amalan masing masing. Dan di sunatkan memakai pakaian putih adalah kerana putih itu melambangkan kebersihan dan Allah suka kepada kebersihan.





TAWAF DI BAITILLAH


Tawaf bermaksud mengelilingi kaabah sebanyak 7 kali dengan syarat-syaratnya. Pekerjaan pertama yang dilakukan oleh Nabi s.a.w ketika baginda sampai di Mekah ialah baginda berwuduk kemudian Tawaf di Baitullah. Mengelilingi Ka’abah sebanyak tujuh pusingan dengan yakin dan semata mata untuk tawaf. Sekiranya syarat syarat tidak dilaksanakan, maka tawaf itu tidak sah dan Umrahnya juga terbatal. Lafaz niat tawaf ialah:


"تويت ان اطوف هذا البيت طواف العمرة سبعة اشواط للة تعالى"

“Ya Allah, aku hendak melakukan tawaf Baitullahil Haram tujuh keliling tawaf Umrah kerana Allah Taala.”



-




JENIS-JENIS TAWAF
  1. Tawaf Ifadhah : Tawaf ziarah atau tawaf rukun 
  2. Tawaf Qudum : Tawaf selamat datang dilakukan ketika mula-mula sampai ke Mekah. tidak perlu bagi jemaah yang mengerjakan ibadah umrah. 
  3. Tawaf Wida’ : Tawaf selamat tinggal dilakukan ketika hendak meninggalkan Mekah. 
  4. Tawaf Sunat 
  5. Tawaf Nazar : Tawaf yang dilakukan kerana menunaikan nazar yang telah dibuat. 



Tawaf Qudum
     Tawaf Qudum tidak perlu dilakukan oleh 3 kategori manusia:
  1. Penduduk Makkah dan mereka yang sama dengan hukum dengannya, iaitu mereka yang tinggal dalam lingkungan miqat
  2. Mereka yang mengerjakan ibadah umrah atau haji secara tammattu’
  3. Mereka yang mengerjakan ibadat haji tetapi terus ke Arafah untuk wukuf

Tawaf Ifadhah atau Tawaf Ziarah


Ulama’ sepakat bahawa Tawaf Ifadhah ini merupakan rukun bagi ibadah Umrah. Tanpanya ibadat umrah tidak akan terlaksana.



Tawaf Wida’

Tawaf Wida’ - meninggalkan tawaf Wida’ dengan sengaja adalah berdosa dan dikenakan dam kecuali yang tidak berkuasa langsung sampai ke Masjidil Haram dan adalah sunat tetapi digalakkan untuk mereka yang mahu keluar dari Makkah walaupun dia merupakan penduduk Makkah


Selain daripada 3 jenis ini, dikira sebagai tawaf sunat.



      Syarat syarat Sah Tawaf -

  1. Hendaklah dimulakan digarisan yang membetuli dengan Hajar al Aswad.
  2. Berniat melakukan tawaf,
  3. Mengelilingi Ka’abah sebanyak 7 pusingan.
  4. Sentiasa mengarahkan bahu kiri ke arah Ka’abah
  5. Semata semata untuk tawaf
  6. Dilakukan di dalam masjid, di luar Hijir Ismail dan tidak menyentuh mana mana bahagian Kaabah
  7. Suci daripada najis dan dalam keadaan berwuduk
  8. Menutup aurat seperti mana di dalam Solat.


Sunat Sunat Tawaf

  1. Berjalan kaki walaupun seorang perempuan.
  2. Mengistilamkan Hajar al Aswad dengan tangan kanan kemudian mengucupnya dengan meletakan tangan di dahi.
  3. Setiap tawaf itu hendaklah berdoa dan memohon apa saja yang dihajati. Doa yang ma’thur adalah lebih baik daripada sebaliknya dan Al Quran adalah sebaik baik zikir yang diucapkan.
  4. Bagi setiap tawaf yang di ikuti dengan Sa’i, tiga pusingan tawaf yang awal hendaklah dilakukan secara berlari anak, selebihnya berjalan macam biasa.
  5. Bagi orang lelaki dan kanak kanak hendaklah memakai selepang yang disangkut ke atas bahu kiri serta dililitkan ke bawah ketiak kanan semasa tawaf dan sai’
  6. Dilakukan secara berturut turut.
  7. Sunat merapatkan diri dengan Ka’abah
  8. Sembahyang 2 rakaat selepas tawaf dibelakang Maqam Ibrahim
  9. Sunat juga memasuki Hijir Ismail sebanyak yang boleh untuk bersembahyang sunat.

 

Kelebihan dan Hikmah Tawaf

Amalan tawaf di keliling Ka’abah dimulakan sejak ribuan tahun yang lalu oleh Nabi Ibrahim a.s dan keluarganya dan juga amalan amalan para malaikat. Allah Ta’ala telah menurunkan pada setiap hari kepada orang orang yang berada di Masjid Haram sebanyak 120 rahmat, 60 rahmat bagi orang yang tawaf, 40 rahmat kepada sesiapa yang bersembahyang dan 20 rahmat kepada yang memandang Ka’abah. Tawaf iaitu mengelilingi Ka’abah adalah semata mata untuk membesarkan Allah dan kekuasaanNya, bukan untuk memuja dan mendewakan Ka’abah yang berbentuk kubus yang dibina oleh manusia sendiri. Tawaf hendaklah dilakukan sebanyak 7 kali. 7 adalah angka banyak yang paling minima dan 7 kali tawaf dikira cukup banyak bagi anak Adam yang kekuatannya terbatas berbanding dengan kekuatan para malaikat. 7 juga adalah angka ganjil dan Allah suka kepada angka ganjil. Rasulullah menyuruh para sahabat berlari kecil pada 3 pusingan pertama sesudah diberitahu bahawa orang orang Makkah mencemuh dan mengejek ngejek para sahabat yang tawaf dalam keadaan letih sesudah berjalan jauh. Ini bertujuan membuktikan bahawa tuduhan musyrikin Makkah adalah tidak benar kerana kaum muslimin kebanyakkanya masih sihat dan bertenaga. Mereka juga disuruh membuka bahu dan lengan di sebelah kanan supaya kekuatan lengan dapat dilihat oleh musuh. Sebab itulah di syaratkan bahu kiri hendaklah sentiasa mengarah ke Ka’abah. Dan sentiasa berpusing ke arah kiri sahaja.





SAE'I

Berjalan dari Bukit Safa hingga ke Bukit Marwah sebanyak tujuh kali dengan yakin dan semata mata untuk Sai. Lafaz niat Sa’i ialah:

"اللهم اني اريد ان اسعى بين الصفا والمروة سبعة اشواط سعي العمرة للة تعالى"


“Ya Allah ya Tuhanku, sahaja aku bersai di antara Safa dan Marwah tujuh kali Sa’i Umrah kerana Allah Taala”




SYARAT-SYARAT SAE'I



  1. Dilakukan selepas Tawaf rukun / Tawaf Qudum. 
  2. Bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah. 
  3. Sampai ke hujung setiap tempat Sae’i. 
  4. Berniat Sae’i semata-mata kerana Allah Taala. 
  5. Cukup bilangan 7 kali. Bilangan dikira sekali dari Bukit Safa ke Bukit Marwah. 



SUNAT-SUNAT SAE'I


  1. Berlari-lari anak bagi lelaki apabila sampai di tempat bertanda hijau. 
  2. Menghadap Qiblat dan melambai-lambai kedua-dua tangan serta bertakbir di Safa dan Marwah. 
  3. Keluar ke tempat Sae’i melalui Bab Al-Safa. 
  4. Berdoa. 
  5. Berwudhuk. 
  6. Berjalan kaki. 
  7. Berturut-turut 
Sa’i tidak perlu berwuduk, berwuduk dan pusingan yang berturut turut hukumnya sunat sahaja




Hikmat bersa’i di Safa dan Marwah

Untuk menghayati atau menyorot kembali amalan Siti Hajar, isteri Nabi Ibrahim a.s yang dimuliakan oleh Allah. Siti hajar berjalan kaki dan berlari di antara bukit Safa dan Marwah untuk mencari air untuk si anak kecilnya Nabi Ismail. Siti Hajar berjalan ketika pergi dan berlari ketika pulang sebaik di dengar suara tangisan Nabi Ismail yang di tinggalkan tidur sendirian. Pengalaman pahit yang ditempuh oleh Siti Hajar akhirnya berjaya dilaluinya dengan tabah demi mematuhi perintah Allah. Maka seseorang yang mengerjakan Sai seharusnya mengenang kembali pengalaman pahit yang dilalui oleh Siti Hajar.



BERCUKUR

Bercukur bererti menggunting rambut atau menghilangkan sekurang-kurangnya 3 helai rambut di kepala dengan cara mencukur atau mengguntingnya. Dan bagi wanita dengan sekadar panjang jari tangan dan dilakukan selepas Sa’i. Dengan ini terlepaslah dari pantang larang yang dikenakan semasa dalam ihram.



Hikmah bercukur atau bergunting

Membuang sebahagian rambut yang tidak terurus dan berdebu dengan tujuan untuk mendandannya adalah suatu tradisi yang melambangkan kebersihan dan kekemasan diri khususnya bagi para musafir yang baru selesai melalui berbagai cabaran dan keadaan yang tidak selesa akibat pantang larang yang wajib dijaga selama yang ditentukan.




 


Tertib

Iaitu berturutan rukunnya yang mana dahulu patut didahulukan dan mana kemudian dikemudiankan.


Kesemua rukun yang disebutkan itu tidak boleh diwakilkan kepada orang lain, mestilah dilakukan sendiri samada diusung, diupah dan sebagainya.



Tempat tempat yang makbul untuk berdoa
  1. Ketika mula mula melihat Ka’abah
  2. Di dalam Ka’abah (di antara Hijir Ismail dan Ka’abah juga di kira kawasan Ka’abah)
  3. Di Multazam (di antara Hajar Aswad dan pintu Ka’abah)
  4. Di Rukun Hajar al Aswad
  5. Di Rukun Yamani
  6. Di Hijir Ismail
  7. Di Maqam Ibrahim
  8. Ketika bertawaf
  9. Di Telaga Zam Zam
  10. Ketika minum air Zam Zam
  11. Di laluan Sai termasuk di Safa dan Marwah
  12. Di bawah Saluran Ka’abah

Tiada ulasan:

Catatan Popular



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Visitor Umrah Persendirian